Nabi Zakaria, ayahnya Nabi Yahya sedar dan mengetahui bahawa anggota-anggota
keluarganya, saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya dan anak-anak saudaranya
adalah orang-orang jahat Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar
hukum-hukum agama dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka
belum meresap betul didalam hati mereka, sehingga dengan mudah mereka tergoda
dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan kemaksiatan. Ia khuatir bila
ajalnya tiba dan meninggalkan mereka tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan
pimpinannya atas kaumnya, bahawa mereka akan makin rusak dan makin berani
melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka mengadakan
perubahan-perubahan di dalam kitab suci Taurat dan menyalah-gunakan hukum-hukum
agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping rasa
sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia sembilan puluh tahun,
Tuhan belum mengurniakannya dengan seorang anak yang ia idam-idamkan untuk
menjadi penggantinya memimpin dan mengimami Bani Isra'il. Ia agak terhibur dari
rasa sedih dan kekhuatirannya semasa ia bertugas memelihara dan mengawasi Maryam
yang dapat dianggap sebagai anak kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya
dan keinginanya yang kuat untuk memperolhi keturunan tergugah kembali ketika ia
menyaksikan mukjizat hidangan makanan dimihrabnya Maryam. Ia berfikir didalam
hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan Allah. Allah yang
telah memberi rezeki kepada Maryam dalam keadaan seorang diri tidak berdaya dan
berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan bila Dia kehendaki walaupun
usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah penuh uban.
Pada suatu malam
yang sudah larut duduklah Zakaria di mihramnya menghiningkan cipta memusatkan
fikiran kepada kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa dengan khusyuk dan
keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut berucaplah ia dalam doanya:
"Ya Tuhanku berikanlah aku seorang putera yang akan mewarisiku dan mewarisi
sebahagian dari keluarga Ya'qub, yang akan meneruskan pimpinan dan tuntunanku
kepada Bani Isra'il. Aku khuatir bahawa sepeninggalanku nanti anggota-anggota
keluargaku akan rusak kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati tanpa
seorang pemimpin yang akan menggantikan aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi
lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban sedang isteriku adalah seorang perempuan
yang mandul namun kekuasaan-Mu adalah diatas segala kekuasaan dan aku tidak
jemu-jemunya berdoa kepadamu memohon rahmat-Mu mengurniai kau seorang putera
yang soleh yang engkau redhai."
Allah berfirman memperkenankan permohonan
Zakaria: "Hai Zakaria Kami memberi khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh
seorang putera bernama Yahya yang soleh yang membenarkan kitab-kitab Allah
menjadi pemimpin yang diikuti bertahan diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan
serta akan menjadi seorang nabi."
Berkata Zakaria: "Ya Tuhanku bagaimana aku
akan memperolehi anak sedangkan isteri adalah seorang perempuan yang mandul dan
aku sendiri sudah lanjut usianya."
Allah menjawab dengan firman-Nya:
"Demikian itu adalah suatu hal yang mudah bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan
engkau padahal engkau di waktu itu belum ada sama sekali?"
Berkata Zakaria:
"Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda bahawa isteri aku telah mengandung."
Allah berfirman: "Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata dengan
manusia selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah
nama-Ku sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah diwaktu petang dan pagi
hari."
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran
kecuali bahawa ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia masih kanak-kanak dan bahawa
ia seorang putera yang berbakti kepada kedua ora ng tuanya dan bukanlah orang
yang sombong durhaka. Ia terkenal cerdik pandai, berfikiran tajam sejak ia
berusia muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan siang dan malam sehingga
berpengaruh kepada kesihatan badannya dan menjadikannya kurus kering, wajahnya
pucat dan matanya cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim
menguasai soal-soal keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat
bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian dalam mengambil
sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula menghiraukan ancaman
pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran dan melawan kebathilan.
Ia
selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat dari dosanya.
Dan sebagai tanda taubatnya mereka dipermandikan { dibaptiskan } di sungai
Jordan, kebiasaan mana hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan
kerana Nabi Yahya adalah orang pertama yang mengadakan upacara itu, maka ia
dijuluki "Yahya Pembaptis".
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa Palestin
pada waktu itu mencintai anak saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang gadis
yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan ramping dan berhasrat ingin mengahwininya.
Sang gadis berserta ibunya dan seluruh anggota keluarga menyentujui rencan
perkahwinan itu, namun Nabi Yahya menentangnya dan mengeluarkan fakwa bahawa
perkahwinan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan syariat Musa
yang mengharamkan seorang mengahwini anak saudaranya sendiri.
Berita
rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya yang melarangnya
tersiar di seluruh pelosok kota dan menjadi pembicaraan orang di segala tempat
di mana orang berkumpul. Herodia si gadis cantik calon isteri itu merasa sedih
bercampur marah terhadap Nabi Yahya yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan
perkahwinannya dengan bapa saudaranya sendiri, fatwa mana telah membawa reaksi
dan pendapat dikalangan masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa bapa saudaranya
Herodus calon suami dapat terpengaruh oleh fatwa Nabi Yahya itu dan terpaksa
membatalkan perkahwinan yang sudah dinanti-nanti dan diidam-idamkan, bahkan
bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa pakaian mahupun peralatan yang
perlu untuk pesta perkahwinan yang telah disepakati itu.
Menghadapi fatwa
Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu, Herodia tidak tinggal diam. Ia berusaha
dengan bersenjatakan kecantikkan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa
saudaranya calon suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan menurut rencana.
Dengan merias diri dan berpakaian yang merangsang, ia pergi mengunjungi bapa
saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya Herodus kepada
anak saudaranya calon isterinya yang nampak lebih cantik daripada biasa : "Hai
manisku, apakah yang dapat aku berbuat untukmu. Katakanlah aku akan patuhi
segala permintaanmu, kedatanganmu kemari pada saat ini tentu didorong oleh
sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau sampaikan kepadaku. Sampaikanlah
kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku, aku sedia melayani segala keperluan dan
keinginanmu."
Herodia menjawab: "Bila Tuan Raja berkenan, maka aku hanya
mempunyai satu permintaan yang mendorongku datang mengunjungi Tuanku pada saat
ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah kepala Yahya bin Zakaria orang yang
telah mengacau rencana kita dan mencemarkan nama baik Tuan Raja dan namaku
sekeluarga di segala tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal kepalanya.
Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima kasihku, bila Tuanku berkenan
meluluskan permintaanku ini".
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan
hatinya oleh kecantikan dan keelokan Herodia tidak berkulik menghadapi
permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat berbuat selain tunduk kepada
kehendaknya dengan mengabaikan suara hati nuraninya dan panggilan akal sihatnya.
Demikianlah maka tiada berapa lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria berlumuran
darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang tersenyum tanda
gembira dan puas hati bahawa hasratnya membalas dendam terhadap Yahya telah
terpenuhi dan rintangan utama yang akan menghalangi rencana perkahwinannta telah
tersingkirkan, walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas dirinya,
diri rajanya dan Bani Isra'il seluruhnya.
Cerita tentang Zakaria dan
Yahya terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran, surah Maryam ayat 2 sehingga
ayat 15, surah Ali Imran ayat 38 senhingga ayat 41 dan surah Al-Anbiya' ayat 89
sehingga ayat 90